Tuan Guru
Tuan guru Nik
Aziz Nik Mat adalah nama besar dalam politik tanah air. Saya menghormatinya selaku individu yang
diberi amanah untuk mentadbir Kelantan dan pada masa yang sama turut menjadi
pemimpin utama dalam PAS. Saya tidak
berhajat untuk menghina atau memperlecehkan beliau seperti mana tindakan beliau
yang sering menghina atau memperlecehkan pemimpin atau karekter pemimpin yang
tidak sehaluan dengan beliau. Dan juga
saya tidak mahu menjadi seperti penyokong atau pengikut taksub beliau yang
turut terlalu mudah untuk menghina atau memperlekehkan pemimpin dan pengikut
yang tidak sehaluan atau sama parti yang mereka naungi. Jika tidak sama sahaja saya dengan mereka,
kerja dok mengutuk orang lain dan mendakwa kita sahaja yang betul atau lebih
Islam dari orang lain, tetapi pada masa yang sama mulut dan tindakan tidak
menggambarkan nilai kesempurnaan akhlak yang dianjurkan dalam Islam. Tok guru pun manusia biasa, tidak pernah
terlepas dari sebarang dosa dan beliau bukanlah maksum. Jadi mesti ada ruang untuk kita membuat
teguran dan kritikan.
Nik Aziz adalah
bersusur galur dari keturunan Raja Jembal.
Ayahnya adalah Raja Mohammad II atau lebih mesra dipanggil Nik Mat Alim
Raja Banjar, pengasas Sekolah Agama Darul Anwar. Manakala ibunya pula Raja Tijah, merupakan
golongan bangsawan yang pernah mendapat didikan secara langsung dari Tok Kenali
di Kubang Kerian sebelum menyambung pelajarannya ke Pakistan, India dan
Mesir. Memang tidak dinafikan beliau
adalah memiliki darah keturunan bangsawan dan ulama.
Dalam PRU ke 13
ini beliau masih lagi menawarkan diri untuk terus bertanding disebalik keuzuran
dalam usia 82 tahun! Mengikut rekod
beliau telah menjadi wakil rakyat di DUN Cempaka selama 6 penggal iaitu hampir
30 tahun. Selain dari itu beliau pernah mengalahkan 4 pengerusi pilihan raya
UMNO. Satu rekod yang sukar ditandingi,
hebat....Beliau memiliki satu kelebihan yang hebat dalam ilmu mantik. Justeru itu, dengan mudah beliau dapat mematahkan
hujah lawan dengan memberikan perumpamaan atau analogy yang mudah.
Sebagai ahli
politik beliau tidak pernah terlepas dari kontroversi dan mungkin boleh
dikatakan antara pemimpin veteran yang kerap mencetuskan kontroversi. Ramai yang mempertikaikan cara beliau
menafsir Al Quran dan Hadis apabila memberikan kenyataan yang berkaitan dengan
politik. Beliau mudah menggunakan bahasa
kasar apabila menegur atau memarahi orang lain.
Beliau juga begitu sensitif dan mudah marah. Malahan kemarahannya terhadap Nasharuddin Mat
Isa dan Dr Hassan masih lagi wujud.
Perasaan dendam dan kebencian yang amat sangat terhadap UMNO amat jelas
dan tiada ruang untuk beliau memaafkan parti berkenaan. beliau sering menyamatarafkan parti berkenaan
dengan kekejaman firaun dan zionis serta lain-lain bentuk tirani. Walhal tidak pernah dalam sejarah Melayu,
bangsa melayu melakukan pembunuhan beramai-ramai dan sistematik terhadap
bangsanya sendiri atau melakukan penindasan yang teramat sangat sehingga
menafikan segala-galanya. Dan semua
orang tahu akan hakikat ini.
Pada tahun 1990
– 2004 kedudukan beliau di sebagai mursyidul am dan MB hampir tidak pernah
tercabar. Beliau mempunyai karismatik
yang tinggi dan ditambahi pula dengan imejnya sebagai tuan guru dan ulama yang
disanjung dan dipuja oleh sebahagian besar pengagumnya, pengikut dan penyokongnya
yang taksub. Setiap pandangan dan
kata-kata serta keputusan beliau diterima tanpa sebarang tentangan atau soal
jawab oleh barisan kepimpinan dan pengikut beliau. Tiada ruang untuk membuat kritikan, hanya
semata-mata beliau digelar sebagai Tok Guru,, satu gelaran yang amat dihormati
oleh bangsa Melayu yang digambarkan sebagai mereka yang memiliki taraf martabat
yang tinggi dalam ilmu agama.
Setiap kali
beliau mengeluarkan kenyataan apabila dikerumuni oleh wartawan, ramai pemimpin
yang kecut perut. Mereka tidak tahu apa
yang bakal keluar dari mulut beliau.
Lantaran dengan itu mereka perlu memerah otak untuk mencari hujah sama
ada dari Al-Quran, hadis atau mana-mana pandangan ulama dalam merasionalkan dan
menjustifikasikan kenyataan beliau, biarpun adakala ia agak sukar diterima dan
menyelewang atau mengelirukan. Tetapi
itulah penangan tok guru.
Dikalangan
pengikutnya, beliau dianggap sebagai ulama dan pemimpin rohani yang hebat. Hampir semua kenderaan atau rumah pengikut
yang taksub akan mempunyai gambar beliau.
Ia akan dilekatkan di kenderaan sama ada motorsikal atau kereta atau
digantung di rumah. Tiada pemimpin lain
di Malaysia ini disanjung dan dipuja oleh penyokongnya sampai tahap begitu
melainkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
Auranya begitu terasa dikalangan pengagum, pengikut dan penyokong
fanatiknya.
Beliau pernah
berjanji untuk bersara dari dunia politik jika Tun Dr Mahathir berundur. Namun janji itu tidak pernah ditepati dengan
mendakwa rakyat Kelantan dan penyokongnya masih memerlukan khidmat beliau
biarpun beliau sekarang sudah uzur dan seringkali tidak sihat lantaran usianya
melebihi 80 tahun. Apakah beliau
mempunyai agenda lain? Apakah PAS mengalami defisit dalam memilih calon yang
berkaliber untuk memilih calon yang layak untuk mengganti beliau? Atau adakah
beliau tidak ada kepercayaan terhadap tokoh muda yang lain? Atau adakah beliau
hendak menyandang jawatan sebagai MB dan DUN sehingga akhir hayat?
Apakah tidak ada
cara lain untuk kita berkhidmat kepada rakyat jika kita tidak memegang sebarang
jawatan atau kuasa? Beliau boleh
menggunakan saluran alternatif untuk meneruskan jihad berpolitik dalam
menyampaikan pandangan sama ada dalam menggunakan pentas berpolitik atau
penulisan (blog, facebook, twit etc).
Ramai pemimpin lain yang telah bersara masih lagi memberikan khidmat
mereka biarpun tidak memegang sebarang jawatan atau kuasa. Pandangan mereka masih lagi dihargai dan
digunapakai sebagai panduan oleh ahli dan pengikut. Jika beliau seorang pemimpin yang memiliki
karekter sebagai pemimpin transformasional, beliau jangan merasa risau, keranan
akan ada yang mencari beliau dalam memberikan ruang untuk menyampaikan
syarahan, ceramah atau Kerusi keilmuan untuk beliau terus menulis atau akbar
memperuntukkan ruang khas untuk beliau menyuarakan pandangan lewat
penulisan. Beliau tidak boleh
tamak. Jawatan, pangkat dan kuasa
bukanlah segala-galanya. Apa yang
penting usaha dan jasa yang telah kita lakukan.
Ia akan dihakimi oleh rakyat dan Allah.
Jika kita ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab dan berpolitik secara
bijak dan berhikmah aka nada bahagian untuk kita, In Shaa ALLAH.
Beliau adalah
manusia biasa. Beliau juga bukan bebas
dari sebarang kesilapan dan dosa. Beliau
juga tidak muda selama-lamanya dan pasti akan menghadapi cabaran kecerdasan
dari segi mental dan fizikalnya apabila umur kian meningkat. Ilmu yang diperolehi juga bukanlah muktamad
dan mutlak. Tetapi berapa lama perlu
kita bersabar, bersangka baik dan bertoleransi dengan setiap kenyataan dan juga
pendirian beliau yang semakin diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam. Ramai dikalangan pemimpin dan pengikutnya
sendiri yang mengkritik dalam senyap kerana takut diambil tindakan oleh
pemimpin tertinggi atau tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi yang taksub
menyokong tol guru.
Kenapa perlu
dibiarkan sahaja keceluparan yang boleh menjemput kita ke arah persengketaan
sesama sendiri sehingga membawa kepada ruang kepada pihak musuh bagi mengatur
percaturan untuk memusnahkan ukhuwah dan akidah semasa Islam. Janganlah terlalu taksub dan fanatik kepada
seseorang pemimpin sehingga menafikan kita untuk menegur. Kita boleh melakukannya secara berhemah,
berasas dan beretika tetapi ada penegasannya.
Saya rasa, saya
tidak keterlaluan untuk membicarakan berkenaan Tok Guru. Saya tidak menggunakan bahasa yang kesat
apatah lagi menghina. Tidak seperti
penghinaan yang diterima oleh kebanyakkan pemimpin UMNO dan lain-lain mereka
yang tidak sehaluan dengan PAS. Saya
tidak sama dengan mereka yang berpolitik menggunakan emosi dan begitu mudah
menjatuhhukum dengan mendakwa mereka kurang Islam atau lebih tragis, murtad /
kafir. Tetapi tindakan mereka tidak
menggambarkan kemuliaan akhlak Islam.
Ulasan
Catat Ulasan