Perpaduan Ummah....







UMNO dan PAS, dua kabilah politik melayu yang masing-masing sedang berada dalam psyche keyakinan bahawa kemenangan bakal berpihak kepada mereka.  Dalam scenario dua entiti politik yang masih belum sedia bergabung, ummah yang dikurniakan akal fikiran wajar memikirkan opsyen perpaduan yang realistik, agar usaha yang dirintis tidak dilihat sebagai memasang lampu di tengah hari, bagi mencari bayang di malam yang gelap.  Ummah perlulah melakukan orentasi yang bijak bagi memikirkan pilihan pendekatan yang lebih realistik supaya jika berladang biar menjadi, jika bersawah biar berpadi, jika padi tidak menjadi, lelah petani bertampi-tampi.  

Dalam usaha untuk mencapai matlamat, Islam tidak pernah mengizinkan sebarang cara yang menyalahi lingkungan syarak.  Setiap usaha bagi mana-mana pihak dalam memperolehi kejayaan demi mendapatkan kuasa walapun mengkufurkan nama Allah, membawa kepada perpecahan ummah, mengabdikan diri kepada pihak yang menentang pertubuhan Negara Islam dan hudud, merestui ideologi pluralisme, liberalisme, hedonisme dan sekularisme atau menyentuh perkara yang membabitkan sensitiviti sesuatu bangsa perlulah dihentikan sama sekali.  Jelas ia memperlihatkan usaha yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara.  

Di manakah pertubuhan-pertubuhan Melayu atau NGO yang memperjuangkan Melayu dan ummah?  Pertubuhan yang tidak terikat dengan kepentingan mana-mana pihak yang berkepentingan, yang tidak disogokkan dengan wang, tidak digunakan sebagai pentas untuk mempopularkan diri, yang bukan berperanan sebagai tempat singgahan bagi mereka yang telah ditolak atau dibuang bagi mana-mana parti politik,?  Ia perlulah sebuah pertubuhan yang aktif dan lagi berobjektif dalam melakukan pengauditan terhadap tindakan parti politik atau mana-mana pertubuhan yang berkait dengan kepentingan politik, pentadbiran Negara, agensi dan institusi.  




Ada dua kelompok Melayu, iaitu Melayu professional dan professional Melayu.  Melayu professional ini adalah golongan yang sedar bahawa segala kejayaan yang diperolehi adalah kerana mereka dibantu sehingga berjaya dan mereka ini adalah jenis yang mengenang budi serta berterima kasih kepada pihak yang membantu mereka.  Berbanding dengan professional Melayu yang lebih bebas atau independent dari segi perlakuan dan cara berfikir.  Mereka menganggap setiap dari kejayaan yang mereka kecapi adalah menerusi usaha keras mereka tanpa perlu bergantung kepada pihak yang lain.  Jenis ini adalah golongan yang kurang berterima kasih dan seringkali menunjukkan protes.  Sama ada mereka sedar atau buat-buat tidak tahu bahawa kewujudan nikmat persekitaran yang aman dan selamat inilah yang membolehkan mereka berjaya.  Untuk mengwujudkan persekitaran sebegini selamat dan aman serta kepelbagaian peluang yang ditawarkan adalah menerusi hasil usaha perancangan pihak pemerintah yang bertanggungjawab.
 
Bagi golongan sebegini menjadi orang Melayu adalah tidak sebegitu penting dan mereka menjadi professional adalah menerusi usaha mereka sendiri.  Mereka melihat diri mereka sebagai bijak dan tidak berpartisan kepada mana-mana pihak (biarpun sememangnya mereka berpihak kepada yang lain).  Memang kita berbangga dengan mereka yang berjaya menerusi usaha mereka sendiri, tetapi janganlah kebongkakan dan kesombongan mereka menafikan hakikat sebenarnya yang mereka turut dibantu secara tidak langsung.  Pihak ini jika diberikan peluang untuk mengetuai mana-mana syarikat hanya akan memikirkan untung dan rugi sahaja.  Mereka tidak akan melihat kepada aspek kepedulian terhadap bangsa Melayu atau hak Melayu yang perlu mereka perjuangkan.  Mereka Cuma tahu keuntungan yang boleh memberikan manfaat kepada mereka sahaja tanpa perlu berkongsi membantu orang Melayu lain untuk bersama-sama berjaya.  Dalam minda mereka hanya tahu keuntungan sahaja.  

Dalam memetik kata-kata Confucius “ Tidak salah untuk sesuatu terusan yang mempunyai sampan yang banyak, asalkan semuanya berkayuh menuju ke haluan yang sama”....Sebenarnya menjadi kompas panduan pelbagai pertubuhan bukan Melayu.  Meskipun mereka berada dalam entiti yang berlainan, tetapi dalam banyak perkara yang menyentuh asas bahasa, kebudayaan, pendidikan dan perniagaan, mereka bersatu suara dan tindakan.  Mungkin mereka kelihatan berselisih dari segi pendekatan, namun matlamat yang mereka pegang dan persetujui tetap sama.  Kepentingan mereka tidak pernah terjejas, walau mereka menang atau kalah dalam sesuatu pilihan raya.   Mereka memiliki kebijaksanaan strategi berpolitik, mengambil kedudukan sayap kiri dan kanan, tetapi bersama-sama menyempak bola ke dalam gaung gol kemenangan.  

Apakah kekuatan yang masih ada dalam pertubuhan Melayu? Ummah perlu kembali menghidupkan semangat dan roh pertubuhan yang benar-benar berkecuali, tidak berpartisan, dihormati dan digeruni kawan dan lawan sama ada pemimpin, pentadbir, academia dan pertubuhan politik.  Sama-samalah kita sesama bangsa melakukan mekanisme bersiasah secara bijak yang memberikan keuntungan kepada bangsa dan apa-apa jua yang menyentuh kepentingan bangsa.    

     
Artikel yang disesuaikan dari titah ucapan Raja Dr Nazrin Shah.....Perpaduan Ummah : Harapan, Realiti dan Cabaran.  19 Feb 2013, DBP. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca