Kekuasaan dan Politik
Sebagai seorang
Melayu yang beragama Islam, saya sayangkan bangsa saya seperti mana saya
sayangkan agama Islam. Kita perlu
lakukan apa yang wajar kita lakkan, demi perpaduan Melayu, pengukuhan Islam dan
kesejahteraan Negara. Semakin dekat kita
dengan tarikh pengundian 5 Mei, terasa amat singkat buat kita untuk membina
jambatan penyatuan sesama ummah. Kita
tetap kekal berpecah dengan pendirian dan keegoan kita dalam berpolitik. Ketaksuban terhadap parti, diikuti pula
orator yang disampaikan oleh pemidato dalam menimbulkan kebencian dan fitnah
sehinggakan sampai tahap mempertikaikan keislaman dan amal ibadat solat orang
yang seagama tidak akan terjadi sekiranya pihak yang berlainan pendapat
berupaya berpolitik dengan cara yang sihat, bijak dan berhemah.
Politik perebutan
kuasa amat mudah menjerumuskan umat Melayu ke dalam kancah polemik
persengketaan. Kuasa seringkali
mejadikan manusia itu lalai terhadap hakikat manusiawi sehingga mengesampingkan
prinsip dan etika dalam beragama.
Akibatnya kita selalu kehilangan kewarasan dan pertimbangan yang
rasional yang akhirnya memperlihatkan sifat kehaiwanan kita. Kita mengiktiraf kepelbagai parti politik
kerana Islam meraikan perbezaan pendapat dan juga manifestasi kita terhadap
sistem demokrasi kita. Namun ia bukan
lesen buat kita untuk bertindak sesuka hati sehingga hilang pertimbangan dan
tidak mengikut lunas yang digariskan dalam garispanduan kita berpolitik. Ia
tetap ada batasan yang dihadkan dalam agama dan nilai kebudayaan kita. Malahan perbezaan berpendapat tidak mewajarkan
kita bertindak diluar perimeter etika sehingga mencetuskan permusuhan semasa
sendiri, memutuskan ikatan ukhuwah, merungkaikan prinsip kebenaran, kesaksamaan
dan keadilan. Justeru, dengan itu,
pendekatan berpolitik memerlukan pendewasaan dan pencerahan agar kita tahu
hadnya, disamping meletakkan asas kesatuan ummah yang berteraskan agama kita
tak kala dalam membuat percaturan politik.
Semakin moden
kehidupan kita dengan limpahan maklumat menerusi kemajuan internet dan sistem
komunikasi semakin jahil kita dalam mendapatkan sebarang bentuk maklumat dan
berita. Kita menerima pelbagai bentuk
maklumat yang tanpa tapisan atau suntingan, maklumat yang betul tentu kesahihannya, kenyataan yang
tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan fitnah, melondeh keaiban orang
lain, mencerca dan lain-lain cerita yang memberikan tanggapan buruk terhadap
pihak lain. Ia seolah-olah menjadi satu
anutan baru bagi mereka yang rakus dan bernafsu besar untuk berkuasa. Mereka tidak pernah untuk merasa bersalah
menerusi apa yang mereka laporkan, malahan mensensasikan lagi apa yang
diberitakan. Ia cuba menjustifikasikan
sesuatu perkara yang belum tentu tahap kebenarannya sehinggakan ia ternampak
betul. Ia dilakukan dengan begitu
sistematis dan terancang bagi menjatuhkan moral pihak lawan dan memberikan
gambaran bahawa rakyat telah dizalimi dan dianiayai. Keadaan ini jika tidak terkawal akan
menyebabkan kita menuju ke arah anarki.
Generasi kini
lebih banyak terdedah dengan maklumat dari pelbagai sumber. Pergantungan mereka terhadap sumber perdana
yang didakwa dikawal oleh pihak pemerintah semakin berkurangan, lantaran mereka
lebih banyak menfokuskan kepada sumber alternatif khasnya dari akbar politik,
portal-portal berita internet, blog, facebook, twit. Amat bernasib baiklah jika
ada yang menulisnya dengan penuh bertanggungjawab dan menyebarkan maklumat yang
sahih dan benar. Namun adakah yang
bersikap demikian. Kilang-kilang fitnah inilah yang bekerja 24 jam sehari tanpa
henti.
Oleh yang
demikian kita perlulah membuat pilihan dengan berpandukan kepada fakta dan
ilmu. Kita perlu membebaskan dari
belenggu kefanatikan dan ketaksuban terhadap mana-mana individu. Keadaan ini akan menyebabkan sikap prejudis
negatif terhadap orang lain sehingga kita sentiasa berkecenderungan untuk
memandang kelompok lain yang tidak sehaluan dengan pendirian politik kita
dengan kejelikan dan kebencian. Sikap
fanatic yang ekstrem ini kerap membutakan penilaian kita terhadap kebaikkan
yang telah dilakukan oleh pihak lain.
Bijak pandai dahulu pernah berkata ‘Berprasangka baik cenderung untuk
menafikan segala keburukan, sebagaimana berprasangka buruk cenderung untuk
melebih-lebihkan keburukan’....
Fenomena politik
yang tidak disertai dengan asas agama akan melahirkan golongan penyokong yang
amat mudah terjerumus ke dalam sindrom penafian. Sindrom penafian yang membabitkan mental
seseorang ini akan cuba menafikan apa jua bentuk kebaikkan orang lain dengan
menganggap hanya mereka sahaja yang betul.
Kita inginkan umat Melayu Islam dan bangsa yang mengangkat kepada
prinsip pengutamaan politik yang meninggikan nilai keislaman yang sebenar. Bukan sekadar pandai berslogan dan
memekik-mekik hanya kita sahaja yang benar Islamnya, mendakwa diri sebagai
pejuang keadilan bagi semua bangsa, tetapi lompang dengan akhlak, adab dan
tidak berprinsip dengan nilai Islam yang sebenar.
Ulasan
Catat Ulasan