Merdeka vs Hamba
Bahasa
Melayu : berjiwa merdeka atau berjiwa hamba… Walaupun kita telah mencapai
kemerdekaan lebih 55 tahun dan berbaki 7 tahun lagi bergelar negara maju yang
berpendapatan tinggi dan maju, In Shaa Allah, namun penggunaan BM di dalam
sistem pendidikan, pengurusan pentadbiran, perniagaan khasnya disektor swasta
masih berada di tahap yang belum membanggakan.

Penggunaan BM masih lagi diancam
secara sistematik mahupun tidak langsung oleh bahasa bekas penjajah kita iaitu
Inggeris. Bahasa penjajah masih lagi mendominasi dan bertambah kuat yang mana
digunakan secara meluas khasnya disektor swasta baik dalam institusi pendidikan
dan juga perniagaan di negara ini.
Di dalam acara – acara rasmi walaupun
kehadiran orang tempatan lebih ramai dari orang luar, bahasa inggeris terpakai
dengan rasminya, kononnya dikhuatiri orang asing tidak memahami maksud yang
disampaikan jika dibuat penyampaiannya dalam Bahasa Melayu Tinggi.
Kita masih
lagi mengagumi orang luar dari budaya sendiri. Perasaan inferior yang biasa
terdapat dalam jiwa di setiap negara yang dijajah. Pusat pentadbiran Putrajaya
sendiri yang mana merupakan pusat kekuasaan anak tempatan, penggunaan bahasa
penjajah masih lagi berleluasa khasnya di segi penamaan seperti Persint, Parcel
yang merujuk kepada sesuatu tempat.
Penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia banyak
bergantung kepada sikap dan dasar pemerintah serta rakyat sama ada kita hendak
menjadi warganegara yang BERJIWA MERDEKA ataupun BERJIWA HAMBA.

Mereka yang
BERJIWA MERDEKA akan menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pengucapan
ilmu dan budaya tinggi, bahasa komunikasi rasmi dan tidak rasmi, bahasa
pentadbiran, bahasa perundangan dan bahasa perniagaan.
Sementara mereka yang
BERJIWA HAMBA akan menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang masih lemah,
tidak mempunyai nilai keilmuan dan ekonomi serta tidak mampu untuk mentadbir
negara.
Mereka tidak pernah memberi peluang pada diri mereka untuk melihat
bahasa sendiri maju.. Penyakit yang sama juga pernah dihidapi oleh bangsa
Inggeris 300 tahun dahulu. Mereka terlalu memandang tinggi terhadap bahasa
Latin dan Perancis, dengan meminggirkan bahasa mereka sendiri, inggeris yang
dianggap sebagai bahasa kelas kedua atau ketiga.
Namun masih ada segelintir
dari tokoh mereka yang berjiwa besar dan merdeka untuk melihat bahasa mereka maju
setara dengan bahasa lain, iaitu William Shakespeare yang mengorbankan
sebahagian masa dan jiwa untuk memajukan kesusteraan inggeris dan martabat
bahasa inggeris di waktu bahasa itu tidak mendapat dokongan dari bangsanya
sendiri.
Tidakkah kita mahu memiliki jiwa sedemikian, atau kita masih lagi
bermentaliti tertawan dan jiwa yang dipasung dengan kehebatan bahasa bekas
penjajah mereka…"
Ulasan
Catat Ulasan