Audit Bahasa..Syabas Prof Awang dan DBP..
Aktiviti pengauditan Bahasa Melayu (BM) yang dipelopori oleh
Prof merupakan satu usaha dalam penambahbaikkan mutu BM khas di sektor
kerajaan. Tahniah Prof. Wajar juga pada
pendapat saya untuk diperluaskan ke sektor swasta dan GLC yang bertindak
sebagai enjin ekonomi bagi kerajaan dalam memacu negara ke arah negara
berpendapatan tinggi serta seterusnya menjadi kelompok negara maju.
BM dalam sektor swasta dan GLC amat-amat
menyedihkan. Bahasa penjajah khasnya
bahasa inggeris digunakan secara keterlaluan sehingga menampakkan BM
seolah-olah langsung tiada nilai ekonomi dan komersil. BM dinodakan dengan perlakuan sebahagian
besar golongan professional dan pekerja yang rata-ratanya mendapat pendidikan
kebangsaan.
Petronas
Sebagai contoh saya sekadar mengambil satu syarikat iaitu
PETRONAS sebagai entit syarikat berkait
kerajaan (GLC). Saya pernah bekerja
sebagai kontraktor di PETRONAS hampir 5 tahun.
Satu kebanggaan buat saya kerana dapat mencari pengalaman dalam bidang
saya iaitu keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE) di loji-loji minyak
dan gas sama ada di darat (onshore) mahupun laut (offshore) milik konglemerat
nasional ini. Cuma satu rasa kesedihan
dan kekecewaan adalah nilai BM yang diamalkan di PETRONAS. Biarpun ia dikendalikan oleh bangsa kita, Melayu
dan majority pekerjanya adalah orang Melayu dan rakyat Malaysia , namun penggunaan BM
amatlah mengecewakan.
Bermula dengan
motonya dalam bahasa penjajah (reimagining energy) yang kononnya untuk menonjol
imej korporat dan keantarabangsaan , laman sesawangnya yang menggunakan
sepenuhnya bahasa penjajah, mesyuarat (biarpun dihadiri oleh orang melayu atau
mereka yang memahami BM) yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa penjajah
atau bahasa sekerat ular sekerat belut, minit mesyuarat dan memo yang sepenuhnya
dalam bahasa penjajah, apa jua borang yang berkaitan dengan urusan kerja
PETRONAS, tender, laporan tahunan dan apa jua bentuk pemberitahuan atau
penyiaran hampir semua menggunakan medium bahasa penjajah semata-mata..
Jadi saya terfikir di mana nilai BMnya? Cukupkah sekadar
memperlihatkan wajah kemelayuan atau ketimuran tetapi berlidah atau berminda
barat sepenuhnya. Semata – mata untuk
menunjukkan bahawa konglemerat kita adalah sebahagian dari warga global tajaan
Amerika dan Barat, sanggup kita meminggirkan penggunaan BM dalam syarikat yang
bertaraf multinasional ini. Sikap yang
sebahagian besar warga PETRONAS yang bermula dari pengurusan tertinggi sehingga
ke golongan pelaksana (eksekutif) yang bertaraf Melayu professional tidak
menggambarkan mereka sebagai professional Melayu. Melayu professional adalah
mereka yang berfikiran bahawa mereka ini kononnya maju tetapi hampir tercabut
nilai kejatidirian mereka khasnya dalam mempertahankan nilai BM dan kebudayaan
melayu, berbanding pula professional Melayu yang begitu kental semangat
kemelayuan dan keislaman mereka biarpun mereka bukan dari golongan Melayu
professional.
Jika dibuatlah pengauditan BM di PETRONAS pasti penarafannya
adalah sangat menyedihkan. Pengalaman
saya rata-rata mereka begitu fasih berbahasa penjajah (sesuatu yang
dibanggakan) namun dari segi BM mereka amatlah menyedihkan, lagi-lagi yang
bercakap itu adalah bangsa kita sendiri.
Disebabkan persekitaran kerja yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah,
sedikit demi sedikit BM hilang dari memori fikiran dan penulisan mereka. Budaya korporat yang diterapkan dalan
persekitaran PETRONAS menjadikan BM itu sendiri hilang daya saingnya. BM hanya digunakan dalam komunikasi tidak
formal sahaja. Dalam situasi formal baik
mesyuarat, laporan dan penulisan hanya satu bahasa sahaja terpakai. Saya lihat tiada usaha dilakukan dalam
memberi nilai pengupayaan dan pemerkasaan BM dalam budaya kerja PETRONAS.
Mungkin saya bias atau terlalu kritik atau
tidak adil dalam hal yang melibatkan BM di PETRONAS. Tetapi itulah realitinya yang berlaku di
konglemerat atau syarikat yang bertaraf multinasional di negara kita. Ia diterajui sendiri oleh bangsa kita, namun
bangsa kita sendiri yang meletakkan taraf BM ditahap yang hina sekali. BM tidak diberi peluang untuk diikutsertakan
sekali dalam kemajuan industri petrokimia negara negara kita. Biarpun PETRONAS telah menjana keuntungan
ratusan billion ringgit sejak mula beroperasi pada 1974, namun nilai BM tidak
pernah berubah, malah terus diperosok jauh ke dalam dan ke bawah..
GLC
Mudah-mudahan audit yang dilakukan dapat menunjukkan nilai
sebenar BM di PETRONAS atau mana-mana GLC.
Letakkan KPI atau penanda aras BM dan diberitakan kepada umum. Biar semua orang tahu nilai sebenar bahasa
kebangsaan kita. Kenapa perlu hendak
malu, kerana itu memang realitinya. Kita
hanya meletakkan keuntungan setiap ringgit sebagai aras kemajuan, tetapi tidak
pernah mempedulikan nilai kemusnahan bahasa
kebangsaan kita akibat kerakusan mengejar kemajuan….kenapa saya hanya
memperkatakan PETRONAS secara langsung.
Kerana PETRONAS satu-satunya GLC milik Malaysia yang berjaya menempatkan
dalam Forbes 500. 500 syarikat terbaik
di dunia. Jika BM dapat didaulatkan
dalam PETRONAS bermakna maruah dan imej BM dalam bidang teknologi dan ekonomi
dapat diberi pencerahan dan In Shaa Allah akan diikuti oleh GLC dan syarikat
swasta lain.
Kita hanya mahukan hak BM
diberi keadilan dan diletakkan ditempat yang sewajarnya dalam semua syarikat
ini. Kalau tidak sampai bila-bila pun BM
tetap dihina, diperlekeh, menjadi bahasa kelas kedua atau ketiga oleh warganya
sendiri. Jika warganya sendiri
memperlekehkan bahasanya sendiri bagaimananya kita mengharapkan orang luar
untuk menghormati bahasa kita.
Teruskan usaha Prof dan DBP…moga dalam tahun baru ia memberi
sinar kepada BM yang kian sirna di dalam hampir semua sektor swasta baik atas
nama bumiputra apatah bukan bumiputra.
Ulasan
Catat Ulasan