PeMalaysiaan (Pemeribumian) Ilmu...(2)
Pemimpin negara yang insaf akan hukum pembangunan ilmu
samada sains atau bukan sains sesuatu bangsa tidak seharusnya lari atau
mengelakkan dari program pemeribumian ilmu yang agak malang berlakunya di sini. Seperti yang ditegaskan di sini adalah
kerancakan industri perbukuan dan penterjemahan dalam bahasa sendiri (Bahasa
Melayu) melambangkan tahap keilmuan bangsa berkenaan.
Penggunaan bahasa inggeris dalam skala yang
melampau tidak akan memperbaiki imej perbukuan Malaysia itu sendiri dan
sekaligus tidak akan melonjakkan kemajuan positif negara ini, malahan ia
memberikan gambaran yang memburukan reputasi Malaysia kerana begitu rakus dan
menyanjungi tinggi karya luar dan bahasa luar serta menjadi pengguna yang
membabi buta setia tanpa menyoal. Sekali
pandang kita mungkin perasan menjadi bijak dan hebat, namun hakikatnya
disebalik topeng imej palsu yang dicipta oleh Barat atau pihak penjajah ia
terlihat sebagai intelektual bangsa yang kerdil dan terpasung jiwanya. Sekadar menjadi juru cakap kepada barat yang
diupah dengan sekelumit kekayaan oleh Barat demi memperpanjangkan isme-isme
barat..
Berhubung dengan industri perbukuan menerusi pemeribumian
ilmu, ada pandangan nakal dan sinis yang menyatakan pembangunan sains sesebuah
negara tidak mungkin terkejar menerusi penterjemahan kerana perkembangan pantas
ilmu berkenaan. Pandangan ini tidak berasaskan
sejarah pembangunan sains negara-negara maju.
Negara-negara ini maju sekarang bukan sahaja melalui zaman penterjemahan
masing-masing tetapi masih meneruskan kesinambungan budaya menterjemah ilmu-ilmu dari negara lain
ke dalam bahasa mereka.
Dan kerana usaha
inilah yang sentiasa menjadikan bahasa mereka sentiasa kelihatan malah terlihat
hebat. Bahasa inggeris yang kita
seringkali kita agung-agung (dalam konteks Malaysia) bukanlah bahasa yang
memiliki nilai kesarjanaan sekurang-kurang sehingga awal abad ke 19, kerana
hampir semua ilmunya adalah terjemahan secara langsung karya agung bijak pandai
dari bahasa Arab, Latin, Perancis dan Jerman sehinggalah mereka mampu melakukan
simbiosis ilmu berkenaan lalu disesuaikan dengan budaya Inggeris maka mereka
boleh menjadi penguasa ilmu yang hebat bukan hanya melalui teori malahan
praktiknya melalui penciptaan teknologi di akhir abad ke 19..
Sayangnya budaya penterjemahan ini berlaku dengan kadar yang
amat lembab kerana Tamadun melayu yang bermula di zaman Funan, Campa, Sriwijaya
dan Melaka tidak melalui zaman penterjemahan ilmu secara besar-besaran yang
hebat, seperti yang pernah dilalui zaman kegemilangan Tamadun Islam menerusi
penubuhan Bait al-hikmah dan Tamadun barat oleh pusat penterjemahan Toledo. Lagipun penterjemahan yang dilakukan di zaman
feudalisme melayu terhad hanya kepada kitab-kitab agama, tidak ilmu-ilmu
lain..ini satu tragedi terhadap kegiatan intelektualisme bangsa melayu…
Tidak dinafikan satu dari indeks negara maju adalah betapa
rakyatnya tidak menganggap apa-apa yang didatangkan dalam bentuk setempat
(local) tidak bermutu. Rakyat negara
maju sendiri tidaklah pantas dengan mengatakan produk mereka rendah mutunya
(local). Maka tidak menjadi kehairanan
para sarjana kita yang ratanya berpendirian untuk dilihat sebagai ‘taraf dunia’
maka dia perlu mengikut rentak negara maju.
Lantaran dengan itu segala aktiviti dalam bidang penyelidikan dan
penerbitan buku haruslah berfokus kepada bahasa bekas penjajah, menjadikan
citation dari buku-buku dan kertas kerja penyelidikan luar sebagai penanda aras
terhadap kualiti penulisan disertasi dan agenda atau model pembangunan
penyelidikan dan pembangunan (P & P) sebagai ikutan secara totok dalam
pembangunan aktiviti intelektual tanpa penterjemahan apatah lagi penapisan atau
pemurnian ilmu dalam konteks tempatan.
Akhirnya ilmu yang dihasilkan hanyalah memancarkan ilmu yang tiada
bezanya dengan negara berkenaan. Apa
rasionalnya yang kita boleh bersaing dengan negara maju yang sama maju dalam
bidang mereka. Kita cuma memperkayakan
ilmu, kepustakaan dan teknologi mereka.
Paling bagus pun kita menjadi pekerja mereka yang setia dan cekap yang
semestinya dibayar dengan upah yang mahal untuk keperluan peribadi mereka
sahaja.
Kesilapan kita selama ini adalah menganggap yang bertaraf
antarabangsa sekarang tidak berasal daripada idea setempat (Lokal) atau apa
yang dikatakan ilmu antarabangsa sekarang tidak datangnya dari setempat atau
local. Kita tidak mahu bahasa dan
kebudayaan kita bersifat setempat atau tempatan sahaja, kita tidak mahu taraf
pendidikan dan bahasa kita bersifat setempat, sebaliknya kita mahu ia
diketengahkan ke persada antarabangsa..hasil penyelidikan dan ilmu kita dalam
bahasa kita dibawa ke peringkat antarabangsa disamping menyediakan terjemahannya.
Perlu kita menyedari hakikat ini kerana
apa-apa jua kemajuan ilmu dan benda yang kita lihat dan juga sekarang adalah
dari tempatan asalnya samada ia datang dari Barat, Timur Tengah, Timur Jauh
atau sebagainya..pemeribumian inilah yang menyedarkan hakikat ini agar kita
tidak terbuai dengan kehebatan ilmu dari luar..
Ulasan
Catat Ulasan