PeMalaysiaan (pemeribumian) ilmu....(1)


Konsep peMalaysiaan atau pemeribumian ilmu yang dicetuskan oleh Prof Shahril Mohammad Zain pada pertengahan 90an dahulu perlu difokuskan dan penelitian terhadap gagasan berkenaan wajar diketengahkan.  Dalam masa 7 tahun lagi kita ingin bergelar negara maju berasaskan acuan sendiri. Dan salah satu dari parameternya adalah menerbitkan ilmu yang berasaskan kebudayaan dan citra tempatan yang ditunjangi oleh Melayu sebagai terasnya.  Apa yang perlu diberi penekanan adalah pencitraan ilmu luar khasnya dari Inggeris ke Bahasa Melayu. 

Bagi pemindahan ilmu menerusi bahasa lain (bahasa maju) kepada bahasa baru (bakal maju) tidak dapat tidak terpaksa memahami ilmu yang ingin dipindah dengan lebih mendalam bagi membolehkan mereka mengungkapkan ilmu berkenaan.  Sering kali perbuatan ini akan melahirkan tafsiran yang baru atau kesedaran akan adanya dimensi baru dalam ilmu asing itu.  Cara inilah yang membantu dalam pemajuan ilmu dan sekaligus mengangkat bahasa baru (bahasa peribumi-bakal maju) ke peringkat yang lebih maju supaya ia dapat bersiombiosis dengan ilmu berkenaan. 

Satu hakikat yang perlu diakui sesuatu bangsa yang menghayati bahasa dan kebudayaannya adalah dengan melakukan penterjemahan ilmu agar ilmu itu menjadi sebahagian dari sistem kebudayaan bangsa berkenaan (melayu) agar ia dapat mengalami pembudayaan ilmu yang hebat dan seterusnya dalam melahirkan ilmu baru berasaskan pandangan kosmologi bangsa berkenaan. 

Kita selalu mendengar pemimpin kita bercakap berkenaan menjadi bangsa maju berasaskan cara atau acuan kita sendiri, sekarang ini istilah baru yang dipopularkan oleh PM, Malaysia Ways..(sayang menggunakan terma inggeris), tetapi menginggeriskan pendidikan diperingkat pengajian tinggi dan juga disektor swasta.  Apakah ini yang kita perlukan? Tidak dinafikan penguasaan bahasa asing (bukan sahaja inggeris) penting dalam membina peradaban bangsa dan negara, tetapi apakah perlu dilakukan pergorbanan bahasa.? \

Dakwaan mengatakan penggunaan Bahasa Melayu dalam sector pendidikan dan pekerjaan akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam arus pemodenan adalah amat keterlaluan dan memperlihatkan tahap mentaliti dan pski (psyche) yang terlalu parah dijajah.  Apakah bukti yang signifikan terhadap dakwaan berkenaan.  Apakah Jepun, China, Amerika, Jerman, Perancis dan lain-lain negara maju perlu menggunakan bahasa asing untuk membangunkan sumber manusia dan pemodenan negara mereka? Jelas mereka menggunakan bahasa yang boleh dituturi, difahami dan dekat dengan jiwa bangsa mereka untuk maju.  Inilah yang perlu kita contohi.  Namun adakah ini yang dituruti oleh kepimpinan negara kita? Baik pemerintah mahupun pembangkang, agak skeptikal dan ragu-ragu untuk melalukan agenda besar ini..kerana masing-masing mempunyai kepentingan tertentu khasnya melibatkan kuasa dan undi..

Satu contoh klasik, penyebaran ilmu di China menerusi bahasanya sendiri dan India yang mana sistem pendidikannya menggunakan bahasa penjajah tidak menunjukkan kejayaan yang menyeluruh.  Penyebaran ilmu di China ternyata lebih berjaya berbanding dengan India yang gagal sehingga projek pembangunan yang serupa dilaksanakan di kedua-dua buah negara China masih jauh mendahului India, dan China menjadi kuasa ekonomi nombor dua terkuat dan terbesar di dunia jika dibandingkan dengan India yang jauh ketinggalan. 

Selain dari itu penggunaan bahasa sendiri dapat melahirkan ilmuwan yang hebat dan agung seperti yang pernah dibuktikan oleh negara bangsa Yunani (zaman kegemilangan Rom), Latin (kebangkitan Itali), Perancis, Jerman dan Belanda.  Semua ilmu dari karya agung bangsa ini telah diterjemahkan oleh bangsa Anglo Saxon (bangsa Inggeris) demi membina peradaban dan keagungan bangsa mereka sendiri.  

Natijahnya mereka menjadi bangsa yang kuat dan maju hasil pemeribumian ilmu yang dilakukan menerusi kegiatan terjemahan besar-besaran.  Walaupun usaha ini mengambil masa yang lama (lebih 300 tahun), tetapi ia menyediakan satu asas kukuh yang sangat kuat bagi bangsa Inggeris yang memiliki jati diri yang sangat fanatik dengan bahasa dan bangsanya, sebelum mampu meluaskan penguasaan menerusi agenda penjajahan hampir ke sepertiga dunia.      

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Kenapa saya suka membaca

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..