Tantangan Bahasaku.....


Menurut Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dalam Dewan Bahasa keluaran Okt 2012 “Masalah yang kita hadapi adalah minda tertawan.  Kita masih lagi tertawan dengan bahasa inggeris.  kita sedia maklum bahawa orang Melayu telah dijajah lebih dari 300 tahun oleh Inggeris.  selepas mendapat kemerdekaan, minda orang melayu masih lagi pada tahap yang sama (yakni terjajah)”…..

Pengakuan Pengarah Eksekutif, Projek Khas Khazanah Nasional Berhad En Izani Ashari “ Kita tidak mampu mendaulatkan Bahasa Melayu (BM) seperti mana Bahasa Russia, Perancis dan Jepun.  Oleh itu penambahbaikkan perlu dibuat dan GLC memerlukan sokongan daripada DBP dan pihak-pihak lain untuk mendaulatkan BM.  Pihak GLC memerlukan khidmat dan bantuan dari DBP berkenaan peranan mereka dalam memertabatkan BM”.

Alangkah baik dan bertuahnya BM jika ke semua subsidiari (22 jumlah ke semuanya) yang bernaung dibawah Khazanah menggunakan sepenuhnya BM, yang pastinya melonjakkan nilai ekonomi dan keupayaan BM itu sendiri.  22 anak syarikat itu adalah :

Affin Bank Berhad
Axiata
Bank Islam Malaysia Berhad
Bosuted Holding
CCM
CIMB
MAHB
MBSB
MAS
Maybank
MRCB
Proton
Sime Darby
TH Plantation
TM Berhad
TNB
UEM Group
UMW
PNB
KWSP
Lembaga Tabung Haji


Namun, realitinya BM hampir tidak mendapat tempat dihampir ke semua 22 anak syarikat atau subsidiari yang bernaung dibawahnya.  Biarpun dipimpin oleh bangsa Melayu.  Tetapi di mana semangat patriotisme dan jati diri bangsa yang sayang, bangga dan megah akan bahasanya sendiri.  BM tidak diikutsertakan sekali dalam arus pemodenan negara….

Usahlah diharapkan syarikat swasta lain, yang pastinya dipegang oleh bangsa lain.  Seperti sedia maklumi bahawa mereka tidak pernah sama sekali untuk mendaulatkan BM.  Bagi mereka pulangan material dan ekonomi yang terdapat dalam nilai bahasa Inggeris adalah segala-galanya dalam pembinaan empayar perniagaan dan menafikan langsung peranan BM dan nilai-nilai bercitra kebangsaan.  Minda dan jiwa para konglemerat dan taikun jelas memperlihatkan ciri-ciri kapitalis tajaan imperialis yang berselindung atas nama globalisasi yang menguntungkan pihak Barat yang diketuai oleh Amerika dan British…

Lebih separuh abad kita menjerit atau melaungkan kemerdekaan, namun BM masih lagi tidak membekas disebahagian besar warga dan pembuat dasar...BM tidak ditransformasikan seperti gagasan transformasi lain yang dicanangkan oleh pucuk pimpinan negara..Agenda bahasa bukan keutamaan buat mereka berbanding agenda ekonomi dan bidang strategik lain...

Lantaran dengan itu perlu ada satu perancangan bahasa iaitu dengan melakukan pengisian.  Kita perlu mengisi ruangan yang telah sedia ada dengan mengekalkan kewujudan BM dalam sejarah yang agung. Kita perlu membuat pengisian ini bagi menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat.  Penghasilan buku atau hasil terjemahan amat penting dalam mengukur tahap kemajuan minda dan intelektual bangsa dalam sesebuah negara.  kita perlu mendukung prinsip dan peranan untuk memandaikan bangsa menerusi bahasanya sendiri. 

Contohilah mereka yang berbahasa Melayu dengan hemah dan sistematis seperti Prof Awang Sariyan, Prof Awang Had Salleh, Prof Abdullah, Dr Rais Yatim, Tan Sri Jins Samsuddin.  Mendengar mereka berbicara kita dapat merasakan kehebatan bahasa mereka.  Sekiranya kita berbahasa melayu pun tidak, inggeris pun bukan, secara tidak langsung kita merendahtarafkan maruah BM. 

Apabila menyentuh berkenaan cara untuk mengembalikan kewibawaan BM, kita perlulah memperbetulkan diri kita terlebih dahulu tanpa perlu mempersoalkan sikap orang lain.  Sebagai seorang yang terpelajar dan berkelulusan universiti kita tidak seharusnya bercakap dengan cara mereka yang tidak bersekolah atau mereka yang rendah taraf pendidikannya.

Bukan semua orang, khasnya generasi muda yang boleh mendukung tanggungjawab untuk meningkatkan martabat BM, hatta penutur jati sendiri.  Tanggungjawab ini harus didukung oleh golongan cerdik pandai, iaitu golongan lepasan universiti atau maktab.  Golongan ini perlu menjadi agen perubahan untuk berbahasa melayu dengan baik sama ada dari segi penuturan ataupun penulisan. 

Peranan mereka adalah untuk menyedari bahawa hakikatnya mereka adalah kelompok terpelajar yang harus mempunyai rasa ketanggungjawaban (akauntabiliti) untuk mengangkat darjat dan maruah BM.  Maka untuk itu mereka perlu mempunyai ilmu dan rajin membaca. 

Tanpa usaha tersebut adalah mustahil mereka dapat berbahasa dengan baik.  Jika mereka mempunyai kemahiran membaca buku atau ilmu dalam bahasa asing, sewajarnya ajari atau tulislah ilmu tersebut ke dalam BM.  Menerusi cara ini BM akan diberi nafas baru dengan penambahbaikkan dan memprestijkan keupayaan BM itu sendiri. 

BM perlu diarusperdanakan dalam konteks globalisasi agar ia tidak menjadi mangsa kerasukan atau ketaksuban golongan yang telah dipasungkan minda dan jiwanya oleh agen imperialis…Mereka yang telah menjadi hamba (golongan Anglofilia- Anglophiles) kepada bangsa Anglo (British) –Saxon (Amerika) sangat berkuasa baik dari segi capital mahupun kekuasaannya.  Ini wajar kita sedari dan waspadai. 

Hanya pengorbanan jiwa yang besar dapat menundukkan keangkuhan golongan ini.  Niat baik, Inn Sha Allah dibalas baik….Doakan dan rancangkan sesuatu, selemah-lemah usaha teruskan menulis dan terus menulis dalam memberikan kesedaran...  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Kenapa saya suka membaca

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..