Bertubuh sihat



Kita dilahirkan dengan memiliki tubuh badan yang sihat dan sempurna.  Jarang yang lahir dengan kecacatan atau kekurangan pada tubuh.  Kita juga dianugerahkan minda yang sihat supaya boleh berfikir untuk memanfaatkan persekitaran kita supaya ia memberi manfaat atau faedah kepada tubuh kita.  Namun tidak ramai orang memikirkan berkenaan kesihatan tubuh sewaktu tubuh kita sihat.   

Kita tidak mengambil endah atau peduli tentang apa yang kita makan, tidak mengkaji apa yang terkandung dalam makanan tersebut, tidak memikirkan kesan akibat dari pengambilan berlebihan berkenaan apa yang kita masukkan ke dalam mulut kita dan tidak menggunakan semula apa yang telah kita makan menerusi kegiatan fizikal kita.  Tubuh kita yang Allah cipta telah pun sempurna, namun kesempurnaan tubuh yang di cipta oleh Pencipta kita bukan satu jaminan buat kita untuk tidak menjaganya.  Tubuh yang sihat dan sempurna itu satu amanah Allah kepada kita.   

Dengan tubuh yang sihat kita dapat beribadat dengan sempurna, dapat mencari rezeki, mengembara ke merata alam, memperolehi pendidikan dan pembelajaran dengan sempurna, berkeluarga dan apa – apa yang boleh memberi faedah kepada kita.  Itu merupakan satu manifestasi kesyukuran kita terhadap Allah dalam mengurniakan kita kesihatan fizikal dan akal.  


Selalunya kita alpa dengan nikmat tersebut.  Kita seringkali membelakangkan akal rasional yang Allah kurniakan kepada kita sewaktu kita bertubuh sihat.  Kita bersukan atau beriadah sehingga lalai dalam  menunaikan tuntutan agama yang wajib.  Tidak salah bersukan, tetapi pastikan keutamaan dalam bersolat atau apa-apa tuntutan yang wajib perlu didahulukan, kemudian bersukanlah dengan sepuas-puasnya.  Kita mengkehendakkan keberkatan dalam apa jua yang kita lakukan, termasuk bersukan.  Begitulah halnya juga dengan makan.  Kebiasaannya kita jarang berpantang apabila makan, selalu pantang jumpa, kita sebat sahaja masuk ke dalam mulut.  Itu yang selalu kita buat.   

Tidak salah untuk kita menikmati selagi ianya halal dan menyucikan.  Namun apabila makanan halal yang kita makan, tetapi kita mengambilnya dalam kuantiti yang melebihi keperluan tenaga dan fizikal tubuh itu akan memudaratkan kita.  Sebagai contoh pengambilan karbohidrat yang berlebihan seperti nasi atau mee.  Jika ia diambil secara berpada-pada dengan pelbagai menu lain yang seimbang dengan keperluan kalori kita ia menjadikan tubuh kita bertenaga dan cergas. 

Sebaliknya pengambilan dengan karbohidrat dan protien atau lemak secara berlebihan sehingga mengurangkan menu lain seperti sayur atau buah-buahan dan air masak ia akan mengakibatkan penimbunan lemak dalam tubuh.  Itu yang akhirnya menjadikan tubuh kita lesu dan tidak bermaya.  Akhirnya menjadikan kita malas.  Tambahan pula dengan gaya hidup yang semuanya serba mudah, tidak melibatkan penggerakkan yang banyak, menjadikan kita terus tidak sihat.

Itu yang perlu kita elakkan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Kenapa saya suka membaca

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..